Thursday, February 15, 2018

Sejak akhir-akhir ini, kes-kes kemalangan jalan raya semakin bertambah. Nyatakan pendapat anda tentang sikap manusia yang menjadi punca kemalangan jalan raya.

        Kemalangan jalan raya berlaku di mana- mana sahaja. Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, terutamanya pada musim  cuti sekolah dan menjelang  musim perayaan, seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Kemalangan jalan raya boleh menyebabkan kehilangan nyawa orang yang disayangi, kecederaan, kecacatan dan kemusnahan harta benda. Sesungguhnya sikap manusialah yang menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.  Walau bagaimanapun, terdapat juga punca-punca lain yang turut menjadi penyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

        Antara sikap manusia yang menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah  kecuaian pemandu itu sendiri. Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, mengantuk semasa memandu, menggunakan telefon bimbit, makan dan sebagainya, biasanya tidak memberi tumpuan semasa memandu.  Hal ini menyebabkan mereka hilang tumpuan, dan tidak dapat mengawal kenderaan mereka sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak disangka-sangka secara tiba-tiba, seperti mengelak daripada terlanggar manusia atau haiwan  yang melintas di hadapan dan sebagainya. Sikap pemandu yang jarang melakukan pemeriksaan kereta khususnya sebelum memulakan perjalanan jauh juga akan menyebabkan kenderaan mereka mengalami masalah atau meragam secara tiba-tiba di lebuh raya. Keadaan ini menyebabkan kenderaan mereka berhenti secara tiba-tiba di jalan raya tanpa sempat memberi amaran kepada kenderaan di belakang. Situasi ini menyebabkan kenderaan dari belakang yang dipandu  laju dalam  jarak yang dekat tidak sempat mengelak, terus merempuh kenderaan yang berhenti, kerana pemandu tersebut tidak sempat menekan brek, lalu terjadilah nahas jalan raya yang mengerikan. Jadi, jelaslah bahawa sikap cuai pemandu menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

       Selain kecuaian pemandu, sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri juga merupakan penyebab berlakunya nahas jalan raya. Pemandu  muda selalunya tidak mempunyai perasaan sabar dan sentiasa menunjukkan sikap terburu-buru semasa memandu, kerana mereka ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju.  Mereka mula menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri, apabila mereka memotong kenderaan lain yang dipandu  perlahan, di lorong yang salah  semasa keadaan jalan raya sesak, khususnya pada waktu puncak, atau semasa memandu di jalan raya di kawasan kampung. Sekiranya mereka tidak sempat memotong kenderaan di hadapan, kenderaan mereka akan bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan, lalu terjadilah kemalangan jalan raya. Pemandu - pemandu juga sering berlumba-lumba di lebuh raya untuk menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka memandu.  Mereka akan memecut dengan laju  dan menyelit-nyelit di antara kenderaan  lain sehingga membahayakan pemandu kenderaan lain. Sekiranya mereka tidak dapat mengawal kenderaan kerana terlalu laju,  kenderaan mereka akan terbabas , seterusnya  merempuh apa-apa sahaja di hadapan mereka, lalu mengakibatkan kemalangan jalan raya yang dasyat. Hal ini membuktikan bahawa sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri turut menjadi faktor penyumbang kemalangan jalan raya.

        Sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya juga merupakan faktor berlakunya nahas jalan raya. Pemandu yang memandu kenderaan mereka dengan laju melebihi had laju jalan raya yang ditetapkan terutamanya di kawasan berbukit-bukau dan jalan raya bengkang-bengkok,  akan menyebabkan mereka akan hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Pemandu-pemandu juga sering memotong kenderaan lain di lorong yang salah, seperti di lorong kiri , atau lorong  kanan yang mempunyai dua garisan lurus yang bersambung, lorong kecemasan, dan tidak mematuhi lampu isyarat, akan menyebabkan kenderaan mereka bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan nahas jalan raya. Pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu  akan memandu dengan cara yang berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang, seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya mencetuskan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia lain yang tidak berdosa.

       Selain sikap manusia, keadaan bentuk muka bumi turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya. Jalan raya yang bengkang-bengkok di kawasan berbukit- bukau dan  lebuh raya yang terlalu lurus  turut mengundang nahas jalan raya. Contoh lebuh raya yang bengkang-bengkok  di kawasan berbukit-bukau ialah Lebuh raya Grik dan Lebuh raya Timur-Barat.  Kemalangan ngeri ini selalunya melibatkan bas ekspres yang memulakan perjalanan  jauh pada waktu malam. Keadaan jalan raya yang gelap juga memburukkan lagi keadaan pemanduan. Pemandu yang memandu terlalu laju kerana ingin cepat sampai ke destinasi tidak dapat mengawal kenderaan mereka apabila melalui jalan raya yang  bengkang bengkok, lalu terbabas dan merempuh kenderaan lain atau menjunam ke dalam gaung. Tuntasnya, keadaan bentuk muka  bumi turut menjadi punca  berlakunya kemalangan jalan raya yang ngeri.

        Faktor cuaca turut disenaraikan sebagai punca nahas jalan raya. Hujan lebat, kabus tebal dan ribut petir akan menghalang pandangan pemandu semasa memandu. Mereka tidak dapat mengagak jarak kenderaaan di hadapan kerana tidak dapat melihat kenderaan di hadapan dengan jelas. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa mereka telah mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat. Sekiranya kenderaan di hadapan berhenti secara tiba-tiba, pasti pemandu yang berada di belakang akan melanggar kenderaan di hadapan kerana  pemandu tersebut tidak sempat menekan brek atau mengelak dari merempuh kenderaan di hadapan, akibat pandangan mereka terhalang oleh kabus tebal, titisan hujan yang lebat dan keadaan yang gelap. Kawasan  berkabus tebal yang boleh mengehadkan pemandangan boleh dilihat di kawasan lebuh raya berbukit-bukau iaitu di Lebuh raya Timur- Barat. Jadi, keadaan cuaca yang tidak menentu juga menjadi penyebab nahas jalan raya, dan faktor ini tidak boleh dipandang ringan sahaja oleh pemandu.

        Keadaan jalan raya yang tidak sempurna juga merupakan punca kemalangan jalan raya. Jalan raya yang berlubang, berlopak dan pecah amat membahayakan pengguna jalan raya, terutamanya  kepada pemandu kenderaan. Jalan raya  berkeadaan sedemikian disebabkan oleh pihak-pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja mereka secara ala kadar sahaja. Mereka akan mengorek jalan –jalan raya untuk membaiki paip di bawah tanah atau sebagainya, lalu meninggalkan jalan tersebut begitu sahaja, tanpa menimbus kembali lubang yang telah dikorek, seterusnya menjadi lopak apabila air hujan bertakung di dalamnya. Mereka  juga mungkin menimbus kembali lubang-lubang tersebut, tetapi  tidak meratakannya semula dengan tar seperti keadaan asal. Hal ini kerana mereka berpendapat, ada pihak lain yang sepatutnya menyempurnakan semula keadaan jalan raya seperti sebelumnya. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan membahayakan pemandu kenderaan yang melalui jalan raya tersebut.  Pemandu yang  tidak menyedari kewujudan lubang atau lopak  tersebut pasti tidak dapat mengelak daripada terjerumus ke dalamnya, manakala kenderaan lain di belakang pula tidak dapat mengelak kenderaan yang telah terjerumus itu, lalu merempuh kenderaan tersebut dan berlakulah kemalangan jalan raya. Sekiranya pemandu yang melalui jalan tersebut sempat mengelak kenderaan mereka daripada terjerumus ke dalam lubang atau lopak itu sekalipun, mereka pasti terbabas dan berlanggar dengan kenderaan lain yang datang  dari arah bertentangan. Jadi, terbuktilah bahawa keadaan jalan raya yang tidak sempurna turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya.

        Kesimpulannya, selain sikap manusia, terdapat juga pelbagai punca lain  yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sesungguhnya, kemalangan jalan raya mengakibatkan negara mengalami kerugian yang besar, kerana kehilangan tenaga kerja yang ramai. Semua pihak seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan / menurunkan kadar kemalangan jalan raya, seperti menguatkuasa dan mengetatkan undang-undang yang sedia ada, mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan iklan keselamatan di media massa, meletakkan lebih banyak papan tanda peringatan di sepanjang lebuh raya atau kawasan berbahaya, mengadakan operasi mencegah kemalangan, contohnya mengadakan Ops Sikap dan sebagainya. Sekiranya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan, sudah pasti lebih banyak tenaga kerja dapat dijana untuk terus membangunkan negara dengan lebih pesat bagi  menghadapi cabaran Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment