Remaja selalu dikaitkan dengan
masalah disiplin. Sejak kebelakangan
ini, masalah disiplin dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Berita tentang remaja yang bermasalah banyak
dipaparkan melalui media massa, contohnya masalah buli, vandalisme, ponteng
sekolah, merokok dan sebagainya. Masalah ini pastinya memberikan pelbagai impak
negatif kepada remaja itu sendiri, seperti menjejaskan prestasi akademik mereka,
menakutkan masyarakat dan menyusahkan orang ramai. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang
kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja. Walau bagaimanapun, beberapa
langkah efektif boleh diambil untuk menanganinya.
Antara faktor yang menyumbang kepada
masalah disiplin dalam kalangan remaja ialah kekurangan perhatian dan kasih
sayang daripada keluarga. Pada zaman
yang mementingkan materialistik ini, ramai ibu bapa sibuk bekerja untuk
menambah pendapatan keluarga. Ramai ibu
bapa keluar bekerja sejak awal pagi dan pulang pada lewat malam. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat
bersama anak-anak sepanjang hari. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian ibu
bapa berasa dipingirkan oleh keluarga sendiri. Mereka berasa tidak dihargai dan
disayangi, menyebabkan mereka mencari altrnatif lain sebagai ganti untuk
mendapatkan perhatian dan kasih sayang. Remaja akhirnya akan mencari rakan
sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Apabila mereka bertemu, mereka akan
melakukan pelbagai masalah disiplin, seperti
merokok, ponteng sekolah, buli dan vandalisme. Jelaslah, pengabaian ibu bapa
terhadap anak-anak menyumbang kepada permasalahan ini.
Seterusnya, pengaruh rakan sebaya juga
menyumbang masalah disiplin dalam kalangan remaja. Rakan sebaya ialah golongan remaja dalam
lingkungan umur yang hampir sama dengan remaja tersebut. Mereka mempunyai cara pemikiran, sikap dan
minat yang hampir sama. Rakan sebaya
merupakan golongan yang sangat rapat dengan remaja dan mampu mempengaruhi
tingkah laku remaja. Remaja yang bermasalah akan mencari rakan sebaya yang
bermasalah juga. Mereka akan menubuhkan kumpulan untuk membina identiti mereka
sendiri. Seterusnya mereka akan melakukan pelbagai masalah disiplin
bersama-sama sebagai cara untuk mendapat
perhatian, memuaskan hati, kerana
dicabar oleh rakan sebaya dan juga kerana membalas dendam, contohnya merempit,
lumba haram dan vandalisme. Sesungguhnya,
pengaruh rakan sebaya yang tidak baik banyak memberi kesan negatif kepada
remaja.
Selain itu, media massa turut
memberi kesan terhadap masalah disiplin dalam kalangan remaja. Media massa seperti media cetak dan media
elektronik banyak mempengaruhi tingkah laku remaja. Filem-filem asing yang ditayangkan melalui
televisyen dan pawagam di negara kita banyak mengetengahkan unsur-unsur seks
dan ganas yang melampau yang bertentangan dengan budaya timur, contohnya aksi
ganas dalam filem ’Bond’ dan aksi artis-artis yang berpakaian
seksi dalam filem-filem Inggeris dan
Bollywood. Golongan remaja yang kurang
matang dan kurang didikan agama akan terpengaruh dengan aksi ganas dan tidak
bermoral serta fesyen pakaian yang
dipakai oleh artis wanita dalam filem-filem yang ditonton. Hai ini mencetuskan keghairahan dan
keterujaan dalam diri remaja dan
akhirnya mereka melakukan aksi yang sama.
Bahan bacaan picisan seperti komik-komik lucah dan pelbagai jenis
majalah hiburan yang memaparkan aksi dan gambar artis tempatan dan antarabangsa
dengan aksi yang melampau mudah didapati di seluruh negara turut
mempengaruhi tingkah laku remaja. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa media
massa turut memburukkan disiplin dalam kalangan remaja.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa
langkah efektif yang boleh diambil bagi mengatasi masalah disiplin dalam
kalangan remaja. Antaranya ialah peranan ibu bapa. Ibu bapa harus bijak membahagikan masa antara
kerjaya dengan keluarga. Mereka harus meluangkan masa yang berkualiti bersama
anak-anak. Ibu bapa perlu mengisi waktu bersama anak-anak dengan beriadah
bersama atau melakukan aktiviti bersama-sama, seperti bercuti, melancong dan
membeli-belah. Selain itu, ibu bapa juga harus mengetahui perkembangan
anak-anak, seperti masalah mereka, pelajaran mereka dan memantau rakan
anak-anak dengan cara yang betul. Oleh hal yang demikian, anak-anak berasa
disayangi oleh ibu bapa mereka sendiri kerena ibu bapa mereka memberi sepenuh
perhatian kepada mereka. Jadi mereka berasa tidak perlu mencari alternatif lain
untuk mendapat perhatian kerana kasih sayang di rumah sudah mencukupi. Jelaslah,
hal ini dapat menghindarkan remaja daripada terjebak dalam masalah disiplin.
Di samping itu, pihak sekolah turut
berperanan membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja. Unit Bimbingan
dan Kaunseling memainkan peranan yang sangat penting untuk membendung masalah
disiplin dalam kalangan remaja melalui kaedah psikologi. Sebelum pelajar bermasalah dikenakan hukuman
akibat kesalahan mereka, mereka sepatutnya dihantar ke unit kaunseling untuk
proses kaunseling bagi menyedarkan dan
menginsafkan mereka. Sekiranya kaedah ini gagal, barulah mereka dihantar ke
Unit Disiplin untuk menerima hukuman yang sewajarnya. Hukuman yang dikenakan terhadap pelajar harus
dilakukan mengikut prosedur yang sewajarnya, bukan bertujuan untuk
menganiayai dan menghukum, sebaliknya
menyedarkan mereka, seterusnya memberi
amaran kepada pelajar lain, contohnya mengenakan denda, mengenakan merit,
gantung sekolah, buang sekolah atau rotan. Tidak dapat dinafikan,
penguatkuasaan undang-undang sekolah dan hukuman dapat membantu pihak sekolah
membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja.
Selain itu, masyarakat juga harus
memainkan peranan mereka dengan berkesan untuk menangani masalah disiplin dalam
kalangan remaja. Jiran tetangga harus menegur atau melaporkan remaja yang melepak
di kawasan kejiranan mereka, manakala premis-premis hiburan seperti kafe siber,
pusat snuker serta kedai makanan mamak harus melarang remaja memasuki premis
mereka tanpa kebenaran. Unit Rukun
Tetangga atau RELA juga berperanan mencegah masalah pelajar merempit,
meragut, vandalisme dan lain-lain dalam kalangan remaja di kawasan perumahan
mereka. Masyarakat juga boleh membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa
jika melihat salah laku yang dilakukan oleh remaja. Penglibatan dan kerjasama
masyarakat dalam usaha membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja sangat
dituntut walaupun remaja tersebut tiada hubungan persaudaraan dengan mereka. Sikap
enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing harus dielakkan dalam
kalangan masyarakat kerana sikap ini tidak membawa apa-apa kebaikan, malah
menggalakkan masalah disiplin yang lebih serius dalam kalangan remaja. Jelaslah,
peranan masyarakat tidak kecil sumbangannya dalam usaha menangani maslah
disiplin dalam kalangan remaja.
No comments:
Post a Comment