Gejala lumba haram sering dipaparkan
melalui media massa, contohnya dalam filem-filem tempatan dan luar negara
seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan sebagainya. Aktiviti lumba haram ini
sangat digemari oleh golongan remaja walaupun mereka mengetahui kadang-kala
aktiviti ini akan berakhir dengan pelbagai tragedi ngeri. Sememangnya terdapat
pelbagai faktor yang menyebabkan remaja terlibat dalam aktiviti lumba
haram. Wujud juga pelbagai kesan
negatif aktiviti ini sekiranya tidak
dibendung.
Ketiadaan trek perlumbaan percuma
merupakan salah satu faktor yang mendorong remaja terjebak dengan aktiviti
perlumbaan haram ini. Trek perlumbaan percuma di negara kita hanya terdapat di
sesetengah tempat dan bilangannya sangat terhad kerana kos pembinaan trek
perlumbaan ini amat tinggi. Biasanya, trek perlumbaan terdapat di kawasan yang
jauh dari bandar, contohnya, trek perlumbaan di Litar Sepang, Batu Kawan,
Seberang Prai, dan Cheras. Penggunaannya hanya terhad kepada
golongan remaja yang tinggal di kawasan berhampiran sahaja. Golongan remaja
yang tinggal di bandar tidak berpeluang untuk berlumba di trek perlumbaan
tersebut. Kesannya, remaja yang berminat dalam perlumbaan motor terpaksa
menggunakan jalan raya sebagai litar untuk berlumba walaupun mereka mengetahui
bahawa perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang. Jelaslah bahawa remaja terdorong melakukan
aktiviti perlumbaan haram ini kerana ketiadaan trek perlumbaan percuma yang
mencukupi.
Seterusnya, faktor lain yang
menyebabkan remaja melibatkan diri dalam perlumbaan haram ini ialah mereka
ingin mencari kepuasan dan keseronokan. Melalui aktiviti ini, remaja dapat berkumpul
beramai-ramai dan meneruskan perlumbaan mereka. Mereka melakukan aksi-aksi yang
boleh membahayakan nyawa mereka seperti aksi ‘Superman’. Pada mereka, aksi
tersebut mampu memberi kepuasan apabila dipertontonkan serta mendapat tepukan
daripada rakan mereka yang lain. Bukan itu sahaja, ganjaran yang disediakan
membuatkan remaja lebih bersemangat menyertai perlumbaan haram tersebut.
Contohnya, gadis-gadis dan wang ringgit dijadikan habuan kepada pemenang
perlumbaan haram tersebut. Hal ini menyebabkan remaja tersebut berasa seronok
dan ingin selalu menyertai perlumbaan itu. Jadi jelaslah bahawa kepuasan diri
remaja merupakan faktor keterlibatan mereka dalam aktiviti ini.
Selain itu, kurang perhatian daripada
ibu bapa merupakan faktor remaja terjerumus dalam aktiviti perlumbaan haram
ini. Perkara ini berlaku apabila ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tiada
masa untuk bersama anak-anak mereka. Bermula dari situ, remaja berasa
terpinggir dan tidak disayangi, seterusnya mereka mengambil keputusan untuk
keluar dari rumah dan menyertai rakan-rakan mereka berlumba haram. Mereka
menganggap dengan berbuat demikian, mereka mampu mendapat perhatian serta
melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka menghabiskan masa mereka dengan
berlumba haram sehingga lewat malam dan pulang pada lewat subuh. Disebabkan
tuntutan ego, mereka mula terlibat dengan jenayah sosial yang mampu menjejaskan
masa depan mereka. Oleh itu, penglibatan remaja dalam masalah ini
sebenarnya berpunca daripada sikap ibu
bapa yang tidak prihatin.
Seterusnya, penglibatan remaja dalam
masalah sosial ini menjurus kepada pelbagai kesan negatif. Salah satunya ialah peningkatan kadar
kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku mungkin
disebabkan oleh kecuaian pelumba haram yang tidak berjaya mengawal kenderaan
mereka. Situasi ini menyebabkan pemandu lain yang berada berhampiran tidak
dapat mengelak daripada bertembung dengan kenderaan pelumba haram disebabkan
tidak sempat menekan brek. Selain itu, pelumba haram yang melakukan aksi-aksi
berbahaya yang melampau mendedahkan diri mereka kepada kemalangan,contohnya
aksi ‘Willy ’ yang memerlukan
keseimbangan badan. Mereka mungkin terpelanting daripada motorsikal yang
ditunggang akibat tidak dapat mengawal situasi. Lebih malang lagi apabila orang
yang tidak bersalah menemui ajal akibat perbuatan mereka. Jelaslah sikap tidak
bertanggung jawab para pelumba haram mengakibatkan kecederaan kepada diri
sendiri dan orang lain.
Selain itu, aktiviti lumba haram ini
mengundang jenayah lain. Aktiviti jenayah mungkin terjadi dalam kalangan remaja
kerana mereka memerlukan wang untuk menyertai perlumbaan haram tersebut. Mereka
akan melakukan pelbagai jenayah untuk memperoleh wang. Contohnya, mereka akan
merompak, meragut, mencuri dan sebagainya. Hal ini demikian kerana mereka perlu
menyediakan cagaran seperti wang sebagai taruhan bagi setiap perlumbaan yang
disertai. Kesannya, jenayah yang dilakukan oleh mereka mengancam keselamatan
masyarakat. Di samping itu, terjadi pergaduhan antara mereka apabila ada
segelintir remaja yang tidak berpuas hati dengan rakan-rakan mereka dan
akhirnya menjurus kepada pembunuhan. Kesannya, remaja yang terlibat dengan
lumba haram ini turut mengheret diri mereka ke dalam jenayah yang lebih berat.
Jelaslah keterlibatan remaja dalam aktiviti lumba haram ini dapat meningkatkan
kadar jenayah dalam negara.
Kesan negatif yang lain ialah aktiviti
lumba haram ini mampu menjatuhkan imej negara di mata para pelancong.
Perlumbaan haram biasanya dilakukan oleh golongan remaja di jalan-jalan utama
di bandar-bandar. Pelancong asing sering terserempak dengan pelumba haram ini. Hal ini demikian kerana jalan-jalan
utama menjadi tumpuan pelumba haram ini menjalankan aktiviti mereka tanpa
mengira waktu sama ada pada waktu siang hari mahupun pada waktu malam hari.
Lebih malang lagi apabila ada pelancong asing yang menjadi mangsa jenayah yang
dilakukan oleh pelumba-pelumba haram ini. Contohnya, mereka menjadi mangsa
jenayah ragut, rompak, dan kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan
pelumba haram tersebut. Antara jalan utama yang menjadi tumpuan remaja
menjalankan aktiviti perlumbaan haram mereka ialah di Dataran Merdeka, Lebuh Raya Akleh dan
sebagainya. Pelancong asing yang pernah menjadi mangsa pasti akan mengalami
trauma dalam hidup mereka. Kesannya, mereka tidak akan kembali ke negara ini
dan mungkin akan menceritakan keburukan Malaysia kepada rakan taulan yang
berada di negara asal. Hal ini pasti akan menjejaskan imej Malaysia di mata
pelancong asing. Sesungguhnya, sikap negatif yang dibawa oleh remaja mampu
menjatuhkan reputasi negara di samping memberi kesan kepada ekonomi negara
kita.
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor aktiviti lumba haram ini sangat
digemari oleh remaja, sekaligus membawa kesan negatif kepada diri sendiri,
orang awam, dan negara. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil
bagi menangani masalah ini. Semua pihak haruslah memainkan peranan
masing-masing dengan berkesan bagi membanteras gejala sosial ini. Ibu bapa harus
meluangkan masa yang lebih bersama anak-anak, memantau tingkah laku anak-anak,
serta mengenali rakan anak-anak. Selain itu, kerajaan juga perlu mengetatkan
undang-undang yang sedia ada. Hukuman penjara dan denda perlu dilaksanakan
dengan lebih tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama. Sekiranya
aktiviti ini dapat dibendung, tidak mustahil negara dapat melahirkan lebih
ramai modal insan yang berkualiti yang mampu menjana kecemerlangan negara pada
masa hadapan.