Monday, March 12, 2012

Panduan Menulis Karangan Cemerlang


KOMPONEN KARANGAN
 DAN 
FORMULA PENULISAN KARANGAN  CEMERLANG


  1. PERENGGAN PERTAMA = ISI UTAMA (IU) / PENDAHULUAN
 
IU = PU +/ DEFINISI + AH + AC + PC


DEFINISI  
·    Memberi definisi bagi istilah yang kurang difahami umum yang
   terdapat dalam pernyataan dalam soalan. (jika perlu sahaja).
           
         PU = PERNYATAAN UMUM
·      Terdiri daripada 1 ayat sahaja..
·      Memberi satu pernyataan   ringkas  tentang tajuk berdasarkan pernyataan dalam  soalan (secara umum  sahaja).

         AH = AYAT HURAIAN
·         Terdiri daripada 1 - 3 ayat  
·        AH1 = Senario / perkembangan isu yang dibincangkan 
      (pada masa ini )
·   AH2 =  Faktor @ Kepentingan @ Kesan – kepada negara, masyarakat, keluarga / individu  - (bergantung kepada soalan)                           
·       AH3 = Sambungan daripada AH2 , jika melebihi 1 ayat.

           AC = AYAT CONTOH
·         Berikan contoh sebenar yang sesuai
·         Kedudukannya tidak tetap.

          PC = PENDIRIAN CALON / AYAT TUNJUK
    • Menyatakan pendirian calon, sama ada bersetuju atau tidak dengan soalan, dengan cara menegaskan / mengaitkannya semula dengan soalan.


      PERINGATAN !!!

    • ISU UTAMA DITULIS DALAM I PERENGGAN SAHAJA. 
      • (PERENGGAN PERTAMA )
      


  1. PERENGGAN  KE-2 HINGGA PERENGGAN KE-7 = ISI SOKONGAN (IS)

 IS = AF + AH + AC + AP



                                                                                     


           AF   = AYAT FAKTA
·    Juga dikenali sebagai ayat topik atau judul
·    Kedudukannya mesti pada permulaan ayat dalam setiap   
    perenggan isi sokongan
·    AF mesti ditulis secara ringkas, tetapi padat dan jelas
·    AF ialah pencetus idea untuk perkembangan ayat-ayat huraian seterusnya. 


AH = AYAT  HURAIAN
·   Terdiri daripada 1 – 5 ayat
·    Dihuraikan berdasarkan AF, secara mendalam.
·    Setiap AH mesti memperlihatkan kesinambungan, dengan cara 
    menggunakan penanda wacana yang sesuai.
·    Untuk mengembangkan AH, calon boleh menggunakan  pelbagai
   kata tanya dan soalan seperti “ Kenapa? Bagaimana? Jadi? 
   Seterusnya? Kesannya? dan sebagainya.
·   Jawapan dari soalan- soalan tersebutlah yang menjadi ayat-
   ayat huraian.
·  Sekiranya  AF membincangkan  faktor,  jangan campurkan
  adukkan  AH faktor dengan cara mengatasi. 

  
             AC = AYAT CONTOH

·      Berikan contoh sebenar yang sesuai sekurang-kurangnya satu contoh.
·      Kedudukan  AC boleh di mana-mana sahaja mengikut kesesuaian, tetapi sebelum AP.


              AP = AYAT PENUTUP

·      Merupakan ayat kesimpulan kecil bagi setiap perenggan isi sokongan.
·      AP menegaskan semula AF
·      Menggunakan ayat yang berbeza tetapi masih memberi maksud yang sama dengan AF.

PERINGATAN !!!

·         1 ISI  SOKONGAN  MESTI DITULIS DALAM 1 PERENGGAN SAHAJA.
       (1 PERENGGAN MEWAKILI 1 ISI)
·         TIDAK BOLEH TULIS 2/3  ISI DALAM 1 PERENGGAN.
·         TIDAK BOLEH TULIS 1 ISI YANG SAMA DALAM 2/3 PERENGGAN. 
       (DIANGGAP  MENGULANG ISI YANG SAMA / PENGULANGAN ISI)



  1. PERENGGAN TERAKHIR =  PENUTUP (P) / KESIMPULAN KESELURUHAN KARANGAN


P= AK + AS + AHrpn





                
           
             AK =  AYAT KESIMPULAN
·      Merumuskan keseluruhan karangan.
·      Membuat kesimpulan secara umum dengan mengaitkan semula PC
·     Jangan ulang semula  AF yang telah disenaraikan.
    (salah sama sekali)
·      AK terdiri daripada 1 – 2 ayat.


            AS =  AYAT SARANAN
·     Juga dikenali sebagai ayat cadangan
·     Memberi saranan atau cadangan sendiri tentang perkara yang  tiada dalam IS, contohnya – langkah-langkah menangani  isu  yang dibincangkan atau sebagainya.
·     Senaraikan sahaja beberapa langkah (tidak perlu dihuraikan )
·      AS terdiri daripada 1 – 2 ayat.


            AHrpn = AYAT HARAPAN
·      Menyatakan harapan calon sekiranya saranan tersebut diguna pakai dalam usaha menangani isu yang dibincangkan.
·      Menggunakan penanda wacana “ agar / supaya / demi” untuk menyambungkan AS dengan AHrpn.
·      Kaitkan dengan dengan Dasar-dasar Negara atau Wawasan 2020.

  

CONTOH-CONTOH BINAAN PENGENALAN / PENDAHULUAN

1.  Bincangkan punca-punca kemalangan jalan raya.
    
 PU
Media masa sering mempamerkan berita mengenai kemalangan jalan raya setiap hari.

AH1 (Senario)
Bilangan kemalangan jalan raya sering meningkat setiap kali menjelang musim perayaan dan cuti sekolah,

AC
contohnya menjelang Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas.

AH2 (Kesan)
Ramai orang tercedera dan terkorban dalam nahas jalan raya.  Suasana riang gembira bertukar menjadi tragedi.

PC
Memang terdapat banyak punca yang mencetuskan masalah ini.



2.  Langkah-langkah membendung inflasi.

PU
Kini, negara kita sedang dilanda inflasi.

Definisi
Inflasi merupakan fenomena wang yang berlebihan mengejar barang yang sedikit.

AH1 (Senario)
Pasaran mengalami kenaikan harga berterusan.  Kadar pertumbuhan ekonomi  yang tinggi tidak bermakna jika inflasi   berlaku.  Kenaikan gaji kita tidak akan meningkatkan kuasa beli.

AC

AH2 (Kesan)

PC
Jadi semua pihak harus bekerja keras membendung inflasi.



3.  Punca-punca remaja lari dari rumah.

PU
Dalam dunia yang serba moden ini, kita tidak terlepas daripada dilanda pelbagai masalah sosial. Salah satu masalah ialah remaja lari dari rumah. 

AH1 (Senario)
Bilangan remaja yang lari dari rumah semakin meningkat.  Ada yang sempat dikesan semula manakala yang lain hilang begitu sahaja. 

AH2 (Kesan)
Mewujudkan masalah sosial yang lain,

AC
seperti pelacuran, kelahiran anak luar nikah dan jenayah.

PC
Memang benar masalah ini berpunca daripada kekurangan kasih sayang ibu bapa.  Namun begitu terdapat juga punca-punca lain yang menyebabkan remaja lari dari rumah.



4.  Cara-cara AIDS merebak.

PU
AIDS merupakan penyakit yang mengancam kelangsungan tamadun manusia. 

Definisi
AIDS bermaksud sindrom kurang daya tahan melawan penyakit  atau AIDS (Acquired Immunity Deficiency Syndrome).

AH1 (Senario)
Penyakit AIDS semakin berleluasa di seluruh dunia. 

AH2 (Kesan)
Virus HIV akan melumpuhkan daya tahan penyakit seseorang.  Akibatnya, pesakit ini akan mati disebabkan penyakit yang lain,

AC
contohnya kudis, batuk kering  dan penyakit kelamin atau siplis.

PC
AIDS merebak melalui pelbagai cara.  Kini pelbagai langkah giat dilakukan untuk mengatasinya.



CONTOH PENULISAN KARANGAN 
MENGGUNAKAN FORMULA KARANGAN CEMERLANG


CONTOH SOALAN 1 :

Sejak akhir-akhir ini, kes-kes kemalangan jalan raya semakin bertambah.  Nyatakan pendapat anda tentang sikap manusia yang menjadi punca kemalangan jalan raya.

1.      ISI UTAMA

IU = DEFINISI +/ PU +AH+AC+PC

DEFINISI
              ------------
PU
Kemalangan jalan raya berlaku di mana- mana sahaja.
AH1
(senario)
Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, terutamanya pada musim  cuti sekolah dan menjelang  musim perayaan,

AC
seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

AH2
(kesan)
Kemalangan jalan raya boleh menyebabkan kehilangan nyawa orang yang disayangi, kecederaan, kecacatan dan kemusnahan harta benda.

PC
Sesungguhnya sikap manusialah yang menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.  Walau bagaimanapun, terdapat juga punca-punca lain yang turut menjadi penyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

              
 2.  ISI SOKONGAN

IS1 = AF + AH + AC + AP

AF
Antara sikap manusia yang menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah  kecuaian pemandu itu sendiri.

AC

Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, mengantuk semasa memandu, menggunakan telefon bimbit, makan dan sebagainya, biasanya tidak memberi tumpuan semasa memandu.

AH2
(kesan?)
Hal ini menyebabkan mereka hilang tumpuan, dan tidak dapat mengawal kenderaan mereka sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak disangka-sangka secara tiba-tiba, seperti mengelak daripada terlanggar manusia atau haiwan  yang melintas di hadapan dan sebagainya.

AH3
(bgmn?)
Sikap pemandu yang jarang melakukan pemeriksaan kereta khususnya sebelum memulakan perjalanan jauh juga akan menyebabkan kenderaan mereka mengalami masalah atau meragam secara tiba-tiba di lebuh raya.

AH4
(kesan?)
Keadaan ini menyebabkan kenderaan mereka berhenti secara tiba-tiba di jalan raya tanpa sempat memberi amaran kepada kenderaan di belakang.

AH5
(jadi?)
Situasi ini menyebabkan kenderaan dari belakang yang dipandu  laju dalam  jarak yang dekat tidak sempat mengelak, terus merempuh kenderaan yang berhenti, kerana pemandu tersebut tidak sempat menekan brek, lalu terjadilah nahas jalan raya yang mengerikan.

AP
Jadi, jelaslah bahawa sikap cuai pemandu menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.


IS2 = AF + AH + AC + AP

AF
Selain kecuaian pemandu, sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri juga merupakan penyebab berlakunya nahas jalan raya.

AH1
Pemandu  muda selalunya tidak mempunyai perasaan sabar dan sentiasa menunjukkan sikap terburu-buru semasa memandu, kerana mereka ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju.

AH2
Mereka mula menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri, apabila mereka memotong kenderaan lain yang dipandu  perlahan, di lorong yang salah  semasa keadaan jalan raya sesak, khususnya pada waktu puncak, atau semasa memandu di jalan raya di kawasan kampung.

AH3
Sekiranya mereka tidak sempat memotong kenderaan di hadapan, kenderaan mereka akan bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan , lalu terjadilah kemalangan jalan raya.

AH4
Pemandu - pemandu juga sering berlumba-lumba di lebuh raya untuk menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka memandu.

AH5
Mereka akan memecut dengan laju  dan menyelit-nyelit di antara kenderaan  lain sehingga membahayakan pemandu kenderaan lain.

AH6
Sekiranya mereka tidak dapat mengawal kenderaan kerana terlalu laju,  kenderaan mereka akan terbabas , seterusnya  merempuh apa-apa sahaja di hadapan mereka, lalu mengakibatkan kemalangan jalan raya yang dahsyat.

AP
Hal ini membuktikan bahawa sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri turut menjadi faktor penyumbang kemalangan jalan raya.



IS3 = AF + AH + AC + AP

AF
Sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya juga merupakan faktor berlakunya nahas jalan raya.

AH1
Pemandu yang memandu kenderaan mereka dengan laju melebihi had laju jalan raya yang ditetapkan terutamanya di kawasan berbukit-bukau dan jalan raya bengkang-bengkok,  akan menyebabkan mereka akan hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung.

AH2
Pemandu-pemandu juga sering memotong kenderaan lain di lorong yang salah,

AC
seperti di lorong kiri , atau lorong  kanan yang mempunyai dua garisan lurus yang bersambung, lorong kecemasan, dan tidak mematuhi lampu isyarat,

AH3
akan menyebabkan kenderaan mereka bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan sehingga   mengakibatkan nahas jalan raya.

AH4
Pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu  akan memandu dengan cara yang berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang, seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

AP
Sudah terang lagi bersuluh, bahawa sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya mencetuskan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia lain yang tidak berdosa.


IS4 = AF + AH + AC + AP

AF
Selain sikap manusia , keadaan bentuk muka bumi turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya.

AH1
Jalan raya yang bengkang-bengkok di kawasan berbukit- bukau dan  lebuh raya yang terlalu lurus  turut mengundang nahas jalan raya.

AC
Contoh lebuh raya yang bengkang-bengkok  di kawasan berbukit-bukau ialah Lebuh raya Grik dan Lebuh raya Timur-Barat.

AH2
Kemalangan ngeri ini selalunya melibatkan bas ekspres yang memulakan perjalanan  jauh pada waktu malam.

AH3
Keadaan jalan raya yang gelap juga memburukkan lagi keadaan pemanduan.

AH4
Pemandu yang memandu terlalu laju kerana ingin cepat sampai ke destinasi tidak dapat mengawal kenderaan mereka apabila melalui jalan raya yang  bengkang bengkok, lalu terbabas dan merempuh kenderaan lain atau menjunam ke dalam gaung.

AP
Tuntasnya, keadaan bentuk muka  bumi turut menjadi punca  berlakunya kemalangan jalan raya yang ngeri.


 IS5 = AF + AH + AC + AP

AF
Faktor cuaca turut disenaraikan sebagai punca nahas jalan raya.

AC
Hujan lebat, kabus tebal dan ribut petir akan menghalang pandangan pemandu semasa memandu.

AH1
Mereka tidak dapat mengagak jarak kenderaaan di hadapan kerana tidak dapat melihat kenderaan di hadapan dengan jelas.

AH2
Keadaan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa mereka telah mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat.

AH3
Sekiranya kenderaan di hadapan berhenti secara tiba-tiba, pasti pemandu yang berada di belakang akan melanggar kenderaan di hadapan kerana  pemandu tersebut tidak sempat menekan brek atau mengelak dari merempuh kenderaan di hadapan, akibat pandangan mereka terhalang oleh kabus tebal, titisan hujan yang lebat dan keadaan yang gelap.

AC
Kawasan  berkabus tebal yang boleh mengehadkan pemandangan boleh dilihat di kawasan lebuh raya berbukit-bukau iaitu di Lebuh raya Timur- Barat.

AP
Jadi, keadaan cuaca yang tidak menentu juga menjadi penyebab nahas jalan raya, dan faktor ini tidak boleh dipandang ringan sahaja oleh pemandu.


IS6 = AF + AH + AC + AP

AF
Keadaan jalan raya yang tidak sempurna juga merupakan punca kemalangan jalan raya.

AC
Jalan raya yang berlubang, berlopak dan pecah amat membahayakan pengguna jalan raya, terutamanya  kepada pemandu kenderaan.

AH1
Jalan raya  berkeadaan sedemikian disebabkan oleh pihak-pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja mereka secara ala kadar sahaja.

AH2
Mereka akan mengorek jalan –jalan raya untuk membaiki paip di bawah tanah atau sebagainya, lalu meninggalkan jalan tersebut begitu sahaja, tanpa menimbus kembali lubang yang telah dikorek, seterusnya menjadi lopak apabila air hujan bertakung di   dalamnya.

AH3
Mereka  juga mungkin menimbus kembali lubang-lubang   tersebut, tetapi  tidak meratakannya semula dengan tar seperti keadaan asal.

AH4
Hal ini kerana mereka berpendapat, ada pihak lain yang sepatutnya menyempurnakan semula keadaan jalan raya seperti sebelumnya.

AH5
Sikap tidak bertanggungjawab ini akan membahayakan pemandu kenderaan yang melalui jalan raya tersebut.

AH6
Pemandu yang  tidak menyedari kewujudan lubang atau lopak  tersebut pasti tidak dapat mengelak daripada terjerumus ke dalamnya, manakala kenderaan lain di belakang pula tidak dapat mengelak kenderaan yang telah terjerumus itu, lalu merempuh kenderaan tersebut dan berlakulah kemalangan jalan raya.

AH7
Sekiranya pemandu yang melalui jalan tersebut sempat mengelak kenderaan mereka daripada terjerumus ke dalam lubang atau lopak itu sekalipun, mereka pasti terbabas dan berlanggar dengan kenderaan lain yang datang  dari arah bertentangan.

AP
Jadi, terbuktilah bahawa keadaan jalan raya yang tidak sempurna turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya.


3.  PENUTUP

  P = AK + AS + AHrpn

AK1
Kesimpulannya, selain sikap manusia, terdapat juga pelbagai punca lain  yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. ( kaitkan semula dengan PC ) 

AK2
Sesungguhnya, kemalangan jalan raya mengakibatkan negara mengalami kerugian yang besar, kerana kehilangan tenaga kerja yang ramai.

AS
Semua pihak seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan / menurunkan kadar kemalangan jalan raya, seperti menguatkuasa dan mengetatkan undang-undang yang sedia ada, mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan iklan keselamatan di media massa, meletakkan lebih banyak papan tanda peringatan di sepanjang lebuh raya atau kawasan berbahaya, mengadakan operasi mencegah kemalangan, contohnya mengadakan Ops Sikap dan sebagainya.

AHrpn
Sekiranya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan, sudah pasti lebih banyak tenaga kerja dapat dijana untuk terus membangunkan negara dengan lebih pesat bagi  menghadapi cabaran Wawasan 2020.


PERINGATAN !!!

  • PENUTUP  MESTI DITULIS DALAM 1 PERENGGAN SAHAJA.

  • Keseluruhannya, dalam  satu karangan yang anda tulis, terdapat 7 / 8 perenggan sahaja.
    
            Isi utama       :   I perenggan
            Isi sokongan  :  5 / 6 perenggan
            Penutup         :  1 perenggan
            ------------------------------------------
             Jumlah          :  7 / 8 perenggan
            ------------------------------------------


CONTOH SOALAN 2  :

Gejala vandalisme  kini semakin meruncing dan  isu ini amat membimbangkan banyak pihak.  Bincangkan faktor-faktor wujudnya gejala ini dan cara- cara menangani masalah ini daripada terus berleluasa.


ISI UTAMA

IU = DEFINISI +/ PU + AH+ AC + PC

DEFINISI
Vandalisme boleh didefinisikan sebagai / bermaksud perbuatan atau tingkah laku negatif yang merosakkan harta benda awam, 

AC
contohnya merosakkan  telefon awam, menconteng dinding-dinding bangunan sekolah, merosakkan tong sampah, merosakkan tandas awam, perhentian bas, peralatan di taman permainan kanak-kanak atau kawasan rekreasi dan sebagainya.

PU
Gejala ini biasanya dilakukan oleh remaja yang tidak bertangung jawab.

AH
(senario)
Gejala  vandalisme  semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan keadaan ini  seperti tidak terkawal lagi.

AH2
(kesan)
Kesannya, negara mengalami kerugian berjuta-juta ringgit untuk mengganti dan membaik pulih harta benda   awam yang telah dirosakkan, manakala rakyat pula tidak dapat menikmati kemudahan awam dengan selesa, dan hal ini menyusahkan rakyat apabila mereka mahu menggunakah kemudahan awam, terutamanya sewaktu kecemasan.

AH3
(kesan)
Gejala ini turut mempamerkan imej buruk masyarakat Malaysia di mata pelancong asing, kerana mereka akan membuat andaian bahawa masyarakat kita masih mempunyai mentaliti yang rendah dan tidak bertamadun.

PC
Pihak-pihak yang terbabit perlu mengenal pasti punca-punca wujudnya gejala vandalisme dalam usaha menangani masalah ini daripada terus berleluasa.




 CONTOH SOALAN 3

Usaha untuk menyuburkan amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu dipertingkatkan.  Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mencapai matlamat ini ?

ISI UTAMA

IU = DEFINISI +/ PU + AH + AC + PC

DEF
Amalan gotong-royong merupakan satu amalan bekerjasama antara satu-satu kelompok individu atau kumpulan masyarakat dalam menjalankan sesuatu pekerjaan.

AH2
(Kesan  positif / kepentingan)
Amalan ini sangat  penting untuk memupuk semangat bersatu padu, bekerja sama dan mengukuhkan ikatan persaudaraan atau ukhwah sesama insan,

AC
contohnya aktiviti rewang, aktiviti gorong-royong membersihkan kawasan persekitaran / kejiranan untuk membasmi wabak penyakit, dan sebagainya.

AH1
(Senario)
Kini, amalan ini semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, kerana setiap individu sibuk dengan hal masing-masing.

PC
Oleh itu, usaha-usaha yang berkesan perlu dilakukan bagi mempertingkat amalan gotong- royong dalam kalangan masyarakat.




CONTOH SOALAN 4

Bincangkan jenis-jenis pencemaran alam sekitar dan langkah-langkah menanganinya.

ISI UTAMA

IU = DEFINISI +/ PU + AH + AC + PC

DEF / PU
Pencemaran alam sekitar ialah segala tindakan  mencemar atau merosakkan alam sekitar.

AH1
(Senario)
Pencemaran alam sekitar semakin kritikal dewasa ini.

AH2
(Kesan)
Masalah pencemaran alam sekitar memberi kesan negatif kepada manusia dan hidupan lain di muka bumi,

AC
seperti menyebabkan penyakit, ketidakselesaan, kemusnahan flora dan fauna, kemusnahan hidupan akuatik, pemanasan global, jerebu,  dan sebagainya.

AH3
(Kesan)
Pencemaran alam sekitar juga memberi gambaran atau  imej  buruk negara di mata pelancong asing, sekali gus menjejaskan ekonomi pelancongan negara.

PC
Terdapat pelbagai jenis pencemaran alam sekitar dan masalah ini perlu ditangani dengan  segera melalui pelbagai langkah  yang efektif.


A.  Jenis-jenis pencemaran alam sekitar : ( Pilih 3 isi sahaja)

IS1. Pencemaran air / sungai / laut akibat :
-          pembuangan sisa toksik dari kilang
-          pembuangan najis khinzir
-          tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal
-          pembuangan sampah- sarap
-          aktiviti pembalakan

IS2.  Pencemaran udara akibat  :
-          penggunaan CFC dalam peralatan elektrik
-          asap kenderaan
-          aktiviti perkilangan
-          kebakaran hutan
-          pembakaran terbuka
-          letusan gunung berapi

IS3.  Pencemaran bunyi akibat :
-          aktiviti penerbangan di lapangan terbang
-          keretapi
-          aktiviti pembinaan
-          aktiviti perkilangan – kilang papan, kimpalan

IS4.  Pencemaran bau akibat  :
-          pembuangan sisa toksik
-          pembakaran terbuka
-          pembuangan sampah sarap / sampah- sarap terbiar

IS5.  Pencemaran darat akibat :
-          pembuangan sampah-sarap
-           


B.  Cara-cara menangani pencemaran alam sekitar.

IS4.  Kempen kesedaran

IS5.  Penguatkuasaan undang-undang

IS6.  Kerjasama dengan negara jiran.


CONTOH SOALAN 5

Bincangkan  langkah-langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar.

ISI UTAMA

IU = DEFINISI +/ PU + AH + AC + PC

DEF / PU
Pencemaran alam sekitar ialah segala tindakan  mencemar atau merosakkan alam sekitar.

AH1
(Senario)
Pencemaran alam sekitar semakin kritikal dewasa ini.

AH2
(Jenis)
Terdapat pelbagai jenis pencemaran alam sekitar,
AC
seperti pencemaran air, udara, bunyi, darat, dan bau.

AH3
(Kesan)
Pencemaran alam sekitar menjejaskan ekologi kehidupan, malah turut memberi gambaran atau  imej  buruk negara di mata pelancong asing, sekali gus menjejaskan ekonomi pelancongan negara.

PC
Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar.





No comments:

Post a Comment