Kemalangan jalan raya berlaku di mana- mana sahaja. Kadar kemalangan
jalan raya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, terutamanya pada musim cuti sekolah dan menjelang musim perayaan, seperti Hari Raya Puasa,
Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Kemalangan jalan raya boleh menyebabkan
kehilangan nyawa orang yang disayangi, kecederaan, kecacatan dan kemusnahan
harta benda. Sesungguhnya sikap manusialah yang menjadi punca utama berlakunya
kemalangan jalan raya. Walau
bagaimanapun, terdapat juga punca-punca lain yang turut menjadi penyumbang
kepada berlakunya kemalangan jalan raya.
Antara sikap manusia yang menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan
jalan raya ialah kecuaian pemandu itu
sendiri. Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, mengantuk semasa
memandu, menggunakan telefon bimbit, makan dan sebagainya, biasanya tidak
memberi tumpuan semasa memandu. Hal ini
menyebabkan mereka hilang tumpuan, dan tidak dapat mengawal kenderaan mereka
sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak disangka-sangka secara tiba-tiba,
seperti mengelak daripada terlanggar manusia atau haiwan yang melintas di hadapan dan sebagainya. Sikap
pemandu yang jarang melakukan pemeriksaan kereta khususnya sebelum memulakan
perjalanan jauh juga akan menyebabkan kenderaan mereka mengalami masalah atau
meragam secara tiba-tiba di lebuh raya. Keadaan ini menyebabkan kenderaan mereka
berhenti secara tiba-tiba di jalan raya tanpa sempat memberi amaran kepada
kenderaan di belakang. Situasi ini menyebabkan kenderaan dari belakang yang
dipandu laju dalam jarak yang dekat tidak sempat mengelak, terus
merempuh kenderaan yang berhenti, kerana pemandu tersebut tidak sempat menekan
brek, lalu terjadilah nahas jalan raya yang mengerikan. Jadi, jelaslah bahawa
sikap cuai pemandu menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.
Selain kecuaian pemandu, sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan
mementingkan diri sendiri juga merupakan penyebab berlakunya nahas jalan raya. Pemandu
muda selalunya tidak mempunyai perasaan sabar dan sentiasa menunjukkan
sikap terburu-buru semasa memandu, kerana mereka ingin cepat sampai ke
destinasi yang dituju. Mereka mula
menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri, apabila mereka memotong kenderaan
lain yang dipandu perlahan, di lorong
yang salah semasa keadaan jalan raya
sesak, khususnya pada waktu puncak, atau semasa memandu di jalan raya di
kawasan kampung. Sekiranya mereka tidak sempat memotong kenderaan di hadapan,
kenderaan mereka akan bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah
bertentangan, lalu terjadilah kemalangan jalan raya. Pemandu - pemandu juga
sering berlumba-lumba di lebuh raya untuk menunjukkan kehebatan dan kehandalan
mereka memandu. Mereka akan memecut
dengan laju dan menyelit-nyelit di
antara kenderaan lain sehingga
membahayakan pemandu kenderaan lain. Sekiranya mereka tidak dapat mengawal
kenderaan kerana terlalu laju, kenderaan
mereka akan terbabas , seterusnya
merempuh apa-apa sahaja di hadapan mereka, lalu mengakibatkan kemalangan
jalan raya yang dasyat. Hal ini membuktikan bahawa sikap pemandu yang tidak
bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri turut menjadi faktor penyumbang
kemalangan jalan raya.
Sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya
juga merupakan faktor berlakunya nahas jalan raya. Pemandu yang memandu
kenderaan mereka dengan laju melebihi had laju jalan raya yang ditetapkan
terutamanya di kawasan berbukit-bukau dan jalan raya bengkang-bengkok, akan menyebabkan mereka akan hilang kawalan
dan terbabas ke dalam gaung. Pemandu-pemandu juga sering memotong kenderaan
lain di lorong yang salah, seperti di lorong kiri , atau lorong kanan yang mempunyai dua garisan lurus yang
bersambung, lorong kecemasan, dan tidak mematuhi lampu isyarat, akan
menyebabkan kenderaan mereka bertembung dengan kenderaan lain dari arah
bertentangan sehingga mengakibatkan nahas jalan raya. Pemandu yang tidak
mempunyai lesen memandu akan memandu
dengan cara yang berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang, seterusnya
menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sudah terang lagi bersuluh,
bahawa sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya mencetuskan
kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia lain yang tidak berdosa.
Selain sikap manusia, keadaan bentuk muka bumi turut menjadi penyebab
berlakunya kemalangan jalan raya. Jalan raya yang bengkang-bengkok di kawasan
berbukit- bukau dan lebuh raya yang
terlalu lurus turut mengundang nahas
jalan raya. Contoh lebuh raya yang bengkang-bengkok di kawasan berbukit-bukau ialah Lebuh raya
Grik dan Lebuh raya Timur-Barat. Kemalangan
ngeri ini selalunya melibatkan bas ekspres yang memulakan perjalanan jauh pada waktu malam. Keadaan jalan raya
yang gelap juga memburukkan lagi keadaan pemanduan. Pemandu yang memandu
terlalu laju kerana ingin cepat sampai ke destinasi tidak dapat mengawal
kenderaan mereka apabila melalui jalan raya yang bengkang bengkok, lalu terbabas dan merempuh
kenderaan lain atau menjunam ke dalam gaung. Tuntasnya, keadaan bentuk
muka bumi turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya yang ngeri.
Faktor cuaca turut disenaraikan sebagai punca nahas jalan raya. Hujan
lebat, kabus tebal dan ribut petir akan menghalang pandangan pemandu semasa
memandu. Mereka tidak dapat mengagak jarak
kenderaaan di hadapan kerana tidak dapat melihat kenderaan di hadapan dengan
jelas. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa mereka telah
mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat. Sekiranya kenderaan di hadapan
berhenti secara tiba-tiba, pasti pemandu yang berada di belakang akan melanggar
kenderaan di hadapan kerana pemandu
tersebut tidak sempat menekan brek atau mengelak dari merempuh kenderaan di
hadapan, akibat pandangan mereka terhalang oleh kabus tebal, titisan hujan yang
lebat dan keadaan yang gelap. Kawasan
berkabus tebal yang boleh mengehadkan pemandangan boleh dilihat di kawasan
lebuh raya berbukit-bukau iaitu di Lebuh raya Timur- Barat. Jadi, keadaan cuaca
yang tidak menentu juga menjadi penyebab nahas jalan raya, dan faktor ini tidak
boleh dipandang ringan sahaja oleh pemandu.
Keadaan jalan raya yang tidak sempurna juga merupakan punca kemalangan
jalan raya. Jalan raya yang berlubang, berlopak dan pecah amat membahayakan
pengguna jalan raya, terutamanya kepada
pemandu kenderaan. Jalan raya berkeadaan
sedemikian disebabkan oleh pihak-pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja mereka
secara ala kadar sahaja. Mereka akan mengorek jalan –jalan raya untuk membaiki
paip di bawah tanah atau sebagainya, lalu meninggalkan jalan tersebut begitu
sahaja, tanpa menimbus kembali lubang yang telah dikorek, seterusnya menjadi
lopak apabila air hujan bertakung di dalamnya. Mereka juga mungkin menimbus kembali lubang-lubang
tersebut, tetapi tidak meratakannya
semula dengan tar seperti keadaan asal. Hal ini kerana mereka berpendapat, ada
pihak lain yang sepatutnya menyempurnakan semula keadaan jalan raya seperti
sebelumnya. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan
membahayakan pemandu kenderaan yang melalui jalan raya tersebut. Pemandu yang
tidak menyedari kewujudan lubang atau lopak tersebut pasti tidak dapat mengelak daripada
terjerumus ke dalamnya, manakala kenderaan lain di belakang pula tidak dapat
mengelak kenderaan yang telah terjerumus itu, lalu merempuh kenderaan tersebut
dan berlakulah kemalangan jalan raya. Sekiranya pemandu yang melalui jalan
tersebut sempat mengelak kenderaan mereka daripada terjerumus ke dalam lubang
atau lopak itu sekalipun, mereka pasti terbabas dan berlanggar dengan kenderaan
lain yang datang dari arah bertentangan.
Jadi, terbuktilah bahawa keadaan jalan raya yang tidak sempurna turut menjadi
penyebab berlakunya kemalangan jalan raya.
Kesimpulannya,
selain sikap manusia, terdapat juga pelbagai punca lain yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan
raya. Sesungguhnya, kemalangan jalan raya mengakibatkan negara mengalami
kerugian yang besar, kerana kehilangan tenaga kerja yang ramai. Semua pihak
seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan /
menurunkan kadar kemalangan jalan raya, seperti menguatkuasa dan mengetatkan
undang-undang yang sedia ada, mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan iklan
keselamatan di media massa, meletakkan lebih banyak papan tanda peringatan di
sepanjang lebuh raya atau kawasan berbahaya, mengadakan operasi mencegah
kemalangan, contohnya mengadakan Ops Sikap dan sebagainya. Sekiranya kemalangan
jalan raya dapat dikurangkan, sudah pasti lebih banyak tenaga kerja dapat
dijana untuk terus membangunkan negara dengan lebih pesat bagi menghadapi cabaran Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment