Thursday, February 15, 2018

Perbuatan jenayah yang berlaku dalam kalangan remaja berpunca daripada ibu bapa remaja sendiri. Bersetujukah anda dengan pendapat ini ?

Perbuatan jenayah dalam kalangan remaja semakin berleluasa. Berita tentangnya telah banyak didedahkan melalui media massa iaitu media cetak dan media elektronik. Kemelut ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan masa depan individu itu sendiri, bahkan akan menyebabkan keluarga mereka turut menanggung malu. Jenayah yang semakin berleluasa ini juga menyebabkan kekecohan dalam institusi kemasyarakatan dan negara. Contoh jenayah yang sering dilakukan ialah perbuatan membuli, merompak, pembunuhan, gejala penagihan dadah dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan punca remaja terlibat dengan jenayah, namun begitu terdapat juga faktor lain yang menyumbang permasalahan ini .

        Sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya merupakan faktor berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Ibu bapa kini sentiasa sibuk bekerja untuk mengejar kemewahan sehingga tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak. Mereka keluar bekerja pada waktu pagi dan pulang setelah lewat malam ketika anak-anak sudah tidur. Ibu bapa tiada kesempatan untuk meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa diri mereka tidak disayangi. Oleh itu, mereka akan keluar dari rumah untuk berjumpa dengan rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Apabila mereka berkumpul, remaja akan cenderung untuk melakukan jenayah bagi melepaskan tekanan. Jenayah yang sering dilakukan oleh remaja ialah perbuatan merompak, penagihan dadah, mencuri dan sebagainya. Oleh itu, sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya boleh memberi kesan yang besar kepada anak-anak khususnya anak-anak yang telah meningkat remaja.

       Sikap ibu bapa yang terlalu mengongkong remaja juga menjadi salah satu punca terjadinya kemelut ini. Ibu bapa terlalu mengawal pergerakan dan tingkah laku anak-anak mereka. Ibu bapa tidak membenarkan anak-anak bersosial dengan rakan-rakan. Remaja juga tidak mempunyai hak untuk bersuara disebabkan sikap ibu bapa mereka yang terlalu tegas. Sikap ibu bapa tersebut menyebabkan anak-anak berasa tertekan dan murung. Bagi melepaskan diri daripada kemelut ini, remaja akan melakukan sesuatu di luar jangkaan sebagai tanda memberontak terhadap kongkongan yang dikenakan oleh ibu bapa terhadap mereka. Sebagai contoh, remaja akan lari dari rumah dan berjumpa dengan rakan-rakan yang menghadapi masalah yang sama. Seterusnya, mereka akan berkongsi masalah mereka dan akan melakukan perbuatan jenayah untuk melepaskan tekanan yang dihadapi di rumah. Perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja ini akan menyebabkan mereka akan mejadi tidak terkawal dan akan menyebabkan mereka terjebak ke dalam kancah jenayah yang lebih serius yang mungkin akan memberikan kesan yang jauh lebih buruk kepada remaja. Jelaslah, anak-anak yang dikongkong keterlaluan oleh ibu bapa akan terdorong untuk melakukan jenayah.

       Faktor lain disebabkan salah asuhan oleh ibu bapa remaja itu sendiri. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak memberikan penekanan terhadap aspek agama dan moral dalam pendidikan terhadap anak-anak remaja mereka. Ibu bapa sendiri tidak mempraktikkan amalan agama dalam kehidupan seharian. Mereka juga tidak mengajar ajaran agama kepada anak-anak mereka menyebabkan anak-anak tiada pengetahuan agama. Kesannya anak-anak tidak dapat membezakan perkara yang baik dengan yang buruk. Mereka tidak dapat berfikir tentang akibat perbuatan mereka. Hal ini demikian kerana mereka tidak diberikan pendedahan tentang dosa dan pahala oleh ibu bapa mereka. Kesannya, mereka tergamak melakukan jenayah berat yang boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri, contohnya, berzina, merompak, merogol dan sebagainya. Jelaslah bahawa kurang pendidikan agama dan moral oleh ibu bapa boleh menjerumuskan remaja ke dalam kancah jenayah.

        Selain faktor ibu bapa, pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada permasalahan ini.
Rakan sebaya ialah mereka yang berada dalam lingkungan umur yang hampir sama dengan remaja tersebut. Biasanya remaja yang keluar dari rumah akan mencari rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Remaja tersebut akan melakukan perbuatan negatif semata-mata untuk melepaskan tekanan yang dihadapi akibat pergolakan yang berlaku di rumah. Perbuatan ini akan bertukar menjadi jenayah apabila remaja berada dalam keadaan terdesak yang bertujuan untuk menyelamatkan diri, contohnya kes rompakan yang akhirnya menjadi kes pembunuhan. Jelaslah pengaruh rakan sebaya boleh memberi impak yang besar kepada diri remaja.

        Pengaruh persekitaran tempat tinggal remaja turut mempengaruhi remaja melakukan jenayah. Remaja yang bermasalah biasanya datang dari  keluarga miskin dan selalunya tinggal di penempatan setinggan di kota raya. Hal ini demikian kerana ibu bapa mereka tidak mampu memiliki kediaman yang lebih selesa yang kosnya lebih tinggi. Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Kehidupan mereka juga sangat daif. Hal ini mendorong kebanyakan penduduk di situ melakukan jenayah untuk menampung kehidupan mereka, seperti perbuatan mencuri, merompak, meragut dan sebagainya. Jenayah ini sudah sebati dalam kehidupan mereka. Jadi remaja yang tinggal di kawasan itu turut terdorong untuk melakukan jenayah yang sama.

        Seterusnya, media massa juga turut mempengaruhi remaja untuk melakukan jenayah. Media elektronik seperti filem-filem tempatan dan luar negara banyak memaparkan unsur-unsur ganas dan ngeri. Paparan aksi-aksi jenayah yang ganas serta kejam yang hanya sesuai ditonton oleh mereka yang berumur lapan belas tahun ke atas ditiru oleh remaja bawah umur. Pada mulanya mereka mencuba aksi-aksi ganas tersebut sekadar untuk berseronok, namun lama-kelamaan perbuatan tersebut menjadi kebiasaan dan amalan mereka. Contohnya, pergaduhan yang berlaku antara remaja kini persis aksi yang terdapat dalam filem-filem ganas yang ditonton. Kesannya, masalah jenayah dalam kalangan remaja semakin sukar ditangani. Sesungguhnya pengaruh media massa memberi kesan yang sangat besar terhadap tingkah laku remaja.

        Kesimpulannya, faktor ibu bapa merupakan punca utama remaja terlibat dalam jenayah, namun begitu terdapat juga faktor lain yang mendorong perkara ini berlaku. Ibu bapa harus memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mendidik remaja untuk menjadi insan yang berguna. Mereka harus meluangkan masa yang lebih kepada anak-anak, memantau tingkah laku anak-anak dan mengenali rakan anak-anak agar anak-anak tidak terlibat dengan jenayah. Selain itu, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan juga haruslah memainkan peranan mereka secara berkesan untuk melahirkan remaja yang bebas jenayah. Remaja yang bebas jenayah bakal menjadi modal insan yang mampu menjana kecemerlangan negara pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment