Thursday, February 15, 2018

Kecenderungan pihak media massa menggarap berita berunsur sensasi seperti skandal seks golongan artis, tahyul, dan sebagainya jelas melanggar tanggungjawab sosial yang perlu diberi keutamaan secara menyeluruh. Bincangkan kesan yang timbul daripada kecenderungan media massa tersebut.

       Media massa ialah alat yang digunakan dalam penyampaian maklumat daripada sumber kepada penerima dengan menggunakan alat-alat komunikasi, seperti surat khabar, filem, radio, internet, dan televisyen. Media massa banyak memberi sumbangan kepada masyarakat iaitu menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Tanpa media massa, masyarakat tidak tahu isu-isu semasa yang berlaku di sekitar mereka. Walau bagaimanapun, kecenderungan pihak media massa kini menggarap berita berunsur sensasi, seperti skandal seks golongan artis, tahyul, dan sebagainya jelas melanggar tanggungjawab sosial yang perlu diberi keutamaan menyeluruh. Sesungguhnya kecenderungan media massa menggarap berita berunsur sensasi banyak membawa kesan negatif kepada masyarakat.

        Antara kesan negatifnya ialah ia tidak membantu perkembangan minda pendengar dan pembaca. Hal ini demikian kerana berita sensasi golongan artis tidak memberi apa-apa ilmu kepada khalayak. Kebanyakan selebriti negara lebih banyak mendedahkan kontroversi yang melanda mereka berbanding dengan kerjaya mereka, contohnya berita percintaan artis dengan ahli politik, berita perkahwinan artis dengan VVIP, dan berita penceraian sesama artis. Pendedahan berita-berita seperti ini yang keterlaluan dalam media massa mengekang penyebaran maklumat yang berkualiti. Masyarakat disogokkan dengan berita-berita hiburan semata-mata. Bagi golongan pelajar pula, mereka akan berasa seronok melayari berita-berita sebegini menyebabkan masa mereka terbuang. Kesannya, mereka akan lalai dalam pelajaran menyebabkan prestasi akademik mereka merosot. Jelaslah, penyebaran berita-berita sensasi golongan artis dalam media massa tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat.

        Selain itu, kesan negatifnya ialah berlaku pembaziran wang dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana pembaca akan mudah terpengaruh dengan berita-berita sensasi yang disiarkan dan hal ini mendorong mereka untuk membeli bahan-bahan tersebut semata-mata untuk mengetahui berita selanjutnya tentang artis-artis kesayangan mereka. Pembaca yang terdiri daripada peminat fanatik segolongan artis tidak akan berkira tentang harga bahan-bahan tersebut. Mereka sanggup membeli bahan-bahan tersebut walaupun mahal. Bagi sesetengah peminat fanatik golongan artis, mereka sanggup melanggan bahan-bahan tersebut agar tidak ketinggalan cerita tentang idola mereka, contohnya majalah Mangga, Remaja, URTV, surat khabar Mingguan Malaysia sisipan hiburan dan sebagainya. Kesannya, akhbar dan majalah semakin laris di pasaran. Jelaslah, kecenderungan pihak media massa menyiarkan berita-berita sensasi adalah untuk mengaut keuntungan semata-mata.

         Seterusnya, tindakan media massa ini juga boleh menjejaskan reputasi seseorang tokoh dan ahli keluarganya. Dewasa ini, ramai tokoh terkenal terlibat dengan jenayah kolar putih, politik wang, skandal seks, dan sebagainya. Apabila perbuatan mereka terbongkar, mereka akan dibawa ke muka pengadilan. Malangnya, pihak media massa akan menggarap berita sensasi tentang keterlibatan tokoh-tokoh tersebut secara tidak adil. Laporan media massa seolah-olah menjatuhkan hukuman bersalah kepada mereka sebelum mereka didapati bersalah oleh mahkamah. Kesannya, hal ini akan menimbulkan kekecohan dalam masyarakat, contohnya kes skandal seks yang melibatkan tokoh politik tanah air. Hal ini menyebabkan reputasi tokoh tersebut terjejas seterusnya turut memberi impak negatif kepada seluruh ahli keluarga mereka. Sesungguhnya, peranan media massa yang tidak bertanggungjawab mampu menjejaskan karier dan maruah tokoh yang terlibat.

        Kesan seterusnya ialah ia mampu mengalihkan tumpuan pembaca dan pendengar terhadap isu-isu pokok dalam kehidupan, contohnya isu-isu ekonomi seperti kenaikan harga barangan keperluan dan kenaikan harga petrol, serta isu-isu antarabangsa yang berkaitan dengan konflik di Syria, Mesir, Palestin, dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menutup kelemahan pihak-pihak tertentu dalam usaha menangani isu-isu yang berlaku. Kesannya, masyarakat tidak akan mengambil berat masalah yang berlaku di sekitar mereka kerana tumpuan mereka lebih berfokus kepada hal-hal yang remeh-temeh. Perkara ini jika berlarutan boleh menjejaskan nilai-nilai-kemanusiaan dalam diri seseorang itu. Hal ini akhirnya akan menjejaskan kepekaan masyarakat tentang isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka seterusnya melahirkan masyarakat yang mempunyai minda tertutup.

         Kesan negatif yang seterusnya ialah timbulnya unsur-unsur sensitif yang berbentuk perkauman dan keagamaan yang boleh mencetuskan rusuhan. Hal ini demikian kerana media massa terlalu cenderung untuk menggarap berita-berita yang menyentuh sensitiviti kaum-kaum tertentu. Unsur negatif ini selalunya melibatkan isu keagamaan dan hak-hak keistimewaan sesuatu kaum yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Media massa ini berani  untuk membincangkan isu-isu ini secara terang-terangan kerana ia disokong oleh parti-parti politik tertentu yang mempunyai agenda tersendiri, contohnya isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, isu hak-hak istimewa orang Melayu, dan isu agama. Hal ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan perselisihan faham antara kaum. Lama-kelamaan, perkara ini boleh mencetuskan rusuhan kaum. Kesannya, kecenderungan media massa yang memaparkan isu-isu sensitif  sebegini akan menjejaskan keamanan negara.

       Kesimpulannya, kecenderungan media massa menggarap berita berunsur sensasi dan sensitif membawa kesan negatif  kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, kerajaan harus mengambil tindakan  tegas dan memantau media massa tersebut untuk mengelakkan masalah-masalah sebegini daripada berlaku. Pihak media massa sendiri harus mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Mereka harus mengesahkan kesahihan maklumat-maklumat yang diterima sebelum disampaikan kepada masyarakat. Masyarakat boleh menelah banyak kebaikan jika media massa dapat menjalankan fungsinya dengan baik dan berkesan.


No comments:

Post a Comment