Thursday, February 15, 2018

Laman sosial kian mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia baik yang muda mahupun yang tua. Bincangkan impak penggunaan jaringan sosial pada alaf baharu ni.

Laman sosial merupakan laman interaksi dan komunikasi dunia maya yang menggunakan medium internet,    contohnya ”Facebook”, ”Twitter”, ”Myspace”, ”Tagged”, blog dan sebagainya. Laman ini kian mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia, baik yang muda mahupun yang tua.  Faktor mesra pengguna merupakan sebab laman ini begitu digemari oleh setiap golongan masyarakat tanpa mengira umur.  Selain itu, laman ini juga boleh dilayari secara percuma oleh penggunanya. Laman ini juga mempunyai pelbagai aplikasi yang menarik, seperti permainan ‘cafeworld’, farmworld’, ‘sollitere’ dan sebagainya untuk mengisi masa lapang pengguna laman sosial. Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak kebaikan penggunaan laman sosial ini terhadap masyarakat, namun wujud juga kesan negatif akibat penyalahgunaan laman sosial ini yang tidak boleh dipandang ringan oleh para penggunanya.

        Antara kebaikan laman sosial ini ialah para penggunanya dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.  Laman facebook berfungsi sebagai medium jejak kasih yang menemukan rakan-rakan lama yang telah terputus hubungan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Selain itu, laman ini juga memudahkan para penggunanya untuk mencari kenalan atau rakan baharu di dunia maya dengan cara yang paling pantas. Antara kelebihan laman sosial ini ialah para pengguna dapat berhubung atau berinteraksi secara langsung dengan ramai kenalan mereka dari seluruh dunia dalam waktu yang sama melalui ruangan sembang di Facebook atau dengan cara berbalas komen antara mereka. Para pengguna juga dapat mengikuti perkembangan seseorang atau idola mereka melalui ‘twitter’. Melalui laman ini, para pengguna dapat bertukar pendapat, bertanya khabar, berbincang tentang kerjaya dan pelajaran tanpa sebarang kekangan.  Jelaslah, laman  sosial ini mampu merapatkan hubungan yang jauh dan memesrakan hubungan yang dekat, seperti kata pepatah, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan.

       Laman sosial merupakan medium yang efektif  untuk menyampaikan maklumat. Pihak kerajaan turut menggunakan Facebook untuk menyampaikan pelbagai perkembangan negara yang berlaku kepada orang awam  dengan berkesan. Kebanyakan kementerian dan juga agensi –agensi kerajaan mempunyai laman sosial mereka sendiri. Segala informasi terkini disampaikan kepada rakyat dengan cara yang mudah, pantas dan tepat. Sebagai contoh, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan Facebook sebagai agen untuk memaklumkan segala butiran penting berkenaan permohonan kemasukan ke Kolej Matrikulasi, jadual peperiksaan serta pelbagai lagi maklumat kepada pelajar. Hal ini membuktikan bahawa Facebook  memudahkan penyampaian maklumat kepada rakyat. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri NajibTun Abdul Razak juga memiliki akaun Facebooknya sendiri. Beliau memaklumkan Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi kepada rakyat melalui Facebook. Jelaslah bahawa laman sosial sememangnya merupakan agen penyampaian maklumat yang sangat berkesan dan paling relevan pada alaf ini.

       Melalui laman sosial ini juga, pengguna dapat mempromosikan atau mengiklankan produk-produk yang dihasilkan kepada rakan-rakan dengan mudah. Pengguna tidak perlu membayar apa-apa kos untuk khidmat pengiklanan di laman social seperti di blog peribadi. Mereka hanya perlu mencipta iklan mereka sendiri seterusnya mempromosikan barangan jualan mereka tanpa sebarang bayaran. Hal ini memberikan ruang dan peluang kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal yang besar untuk mengiklankan barangan mereka. Mereka juga berpeluang  mencipta ‘fan page’ mereka sendiri di laman facebook bagi memudahkan pembeli untuk mengikuti perkembangan produk mereka. Kebanyakan  mereka yang menggunakan kemudahan pengiklanan di laman sosial menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan berpusat di rumah sahaja, namun keuntungan yang diperoleh mereka agak besar. Ternyata, perniagaan ‘on-line’ mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana ia menjimatkan masa dan tenaga mereka.

        Walau bagaimanapun, penyalahgunaan laman sosial turut mengundang masalah dan memberi impak negatif  kepada masyarakat. Antaranya ialah penggunaannya tanpa batasan melalaikan masyarakat. Bagi golongan pelajar, keasyikan bersembang dengan rakan maya atau keseronokan menggunakan aplikasi permainan yang terdapat dalam laman sosial ini pasti akan melekakan mereka,  contohnya permainan Cafeworld dan Farmworld. Akibatnya, tugasan yang diberikan oleh guru sebagai kerja rumah tidak dapat disiapkan kerana terlalu asyik melayari laman sosial hingga lewat malam. Mereka juga tidak mempunyai masa yang cukup untuk menelaah pelajaran kerana terlalu banyak masa digunakan untuk melayari laman sosial,  menyebabkan keputusan peperiksaaan mereka merosot. Bagi golongan penjawat awam atau swasta pula, mereka juga sering menangguhkan kerja mereka kerana terlalu leka melayari laman sosial pada waktu bekerja. Hal ini menyebabkan produktiviti  mereka terjejas, selain memberi masalah kepada orang lain yang berurusan dengan mereka. Selain itu, ramai pengguna yang terdiri daripada orang Islam  lalai mengerjakan solat akibat terlalu asyik melayari laman sosial. Tuntutan agama dilengahkan, malah ada yang terus meninggalkannya dengan alasan terlupa dan sebagainya. Oleh itu, jelaslah bahawa penyalahgunaan laman sosial boleh menjejaskan kualiti modal insan di sesebuah negara.

       Laman sosial turut mempengaruhi peningkatan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat. Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 28 Jun 2012, berdasarkan kajian Cyber Security mendapati bahawa kadar jenayah melibatkan media sosial seperti Facebook telah meningkat sebanyak 88 peratus pada tahun lalu berbanding 8090 kes pada tahun sebelumnya. Facebook telah disalahgunakan sebagai alat untuk melakukan jenayah oleh orang-orang yang tidak bertangggungjawab. Kes-kes ini kebanyakannya melibatkan wanita sebagai mangsa. Biasanya, penjenayah akan mempedaya wanita dengan cara yang paling halus, yakni menjalin hubungan cinta siber dengan mereka. Apabila wanita tersebut sudah masuk ke dalam perangkap mereka, dengan mudah sahaja mangsa akan dipedaya pula untuk menjadi keldai dadah, ditipu wang ringgit, diperkosa, dan lebih malang, mangsa mungkin juga dibunuh untuk menghapuskan bukti. Ternyata, pendedahan identiti diri tanpa batasan oleh pengguna Facebook mengundang bala kepada diri sendiri, bak kata pepatah, lengkuas di tepi kandang, tegak puas, badan menyandang.

        Laman sosial juga boleh menjadi alat penyebaran fitnah dan propaganda. Bagi sesetengah pihak, penulisan di blog-blog peribadi, komen-komen di Facebook atau status di Twitter berupaya menjatuhkan lawannya dengan cara yang paling berkesan. Cerita-cerita yang tidak benar atau fitnah dapat disebarkan dengan begitu pantas dan mudah. Contohnya, perselisihan faham sesama artis selalunya bermula di blog-blog peribadi atau Facebook dan juga Twitter. Mereka saling berbalas komen, saling menuduh dan menyebarkan cerita negatif pihak lawan  yang bertujuan meraih sokongan peminat masing-masing. Kesannya, keaiban kedua-dua pihak terserlah. Selain itu, tulisan berunsur politik di blog-blog peribadi juga sering menjadi senjata kepada sesetengah pihak untuk memburuk-burukkan kerajaan. Malaysia pernah menjadi mangsa fitnah oleh tulisan penulis-penulis barat. Bagi kes yang lebih serius, laman sosial turut dijadikan alat propaganda oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebarkan fahaman atau ideologi sesat. Contohnya, fahaman atau dakyah Syiah yang bertentangan dengan ajaran Islam banyak disebarkan melalui blog-blog tertentu. Jelaslah, penyalahgunaan laman sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mampu menghuru-harakan masyarakat.

         Kesimpulannya, penggunaan laman sosial pada hari ini banyak memberi kebaikan kepada masyarakat sejagat, namun wujud juga kesan negatif jika masyarakat menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak baik. Semua pihak harus bijak menggunakannya dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dalam usaha mengekang kesan negatif yang mungkin wujud akibat penyalahgunaannya. Peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak tidak menggunakan laman sosial untuk tujuan yang tidak baik. Mereka seharusnya memantau aktiviti anak-anak mereka di laman sosial dengan cara menjadi rakan maya anak-anak mereka sendiri. Para pengguna laman sosial keseluruhannya perlu diberi kesedaran tentang kepentingan menggunakan laman sosial secara bijak dan sihat melalui kempen-kempen kesedaran melalui media massa, agar  masyarakat mampu  memanfaatkan perkembangan teknologi terkini untuk kebaikan sejagat, di samping negara dapat melahirkan generasi celik IT yang berkualiti demi kemajuan negara pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment