Thursday, February 15, 2018

Aktiviti perlumbaan haram sangat digemari oleh golongan remaja walaupun kadang-kadang berakhir dengan pelbagai tragedi. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan aktiviti ini semakin diminati dan kesan-kesan negatif aktiviti ini sekiranya tidak dibendung.

        Gejala lumba haram sering dipaparkan melalui media massa, contohnya dalam filem-filem tempatan dan luar negara seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan sebagainya. Aktiviti lumba haram ini sangat digemari oleh golongan remaja walaupun mereka mengetahui kadang-kala aktiviti ini akan berakhir dengan pelbagai tragedi ngeri. Sememangnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan remaja terlibat dalam aktiviti lumba haram.  Wujud juga pelbagai kesan negatif  aktiviti ini sekiranya tidak dibendung.

         Ketiadaan trek perlumbaan percuma merupakan salah satu faktor yang mendorong remaja terjebak dengan aktiviti perlumbaan haram ini. Trek perlumbaan percuma di negara kita hanya terdapat di sesetengah tempat dan bilangannya sangat terhad kerana kos pembinaan trek perlumbaan ini amat tinggi. Biasanya, trek perlumbaan terdapat di kawasan yang jauh dari bandar, contohnya, trek perlumbaan di Litar Sepang, Batu Kawan, Seberang Prai, dan Cheras. Penggunaannya hanya terhad kepada golongan remaja yang tinggal di kawasan berhampiran sahaja. Golongan remaja yang tinggal di bandar tidak berpeluang untuk berlumba di trek perlumbaan tersebut. Kesannya, remaja yang berminat dalam perlumbaan motor terpaksa menggunakan jalan raya sebagai litar untuk berlumba walaupun mereka mengetahui bahawa perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang.  Jelaslah bahawa remaja terdorong melakukan aktiviti perlumbaan haram ini kerana ketiadaan trek perlumbaan percuma yang mencukupi.

         Seterusnya, faktor lain yang menyebabkan remaja melibatkan diri dalam perlumbaan haram ini ialah mereka ingin mencari kepuasan dan keseronokan. Melalui aktiviti ini, remaja dapat berkumpul beramai-ramai dan meneruskan perlumbaan mereka. Mereka melakukan aksi-aksi yang boleh membahayakan nyawa mereka seperti aksi ‘Superman’. Pada mereka, aksi tersebut mampu memberi kepuasan apabila dipertontonkan serta mendapat tepukan daripada rakan mereka yang lain. Bukan itu sahaja, ganjaran yang disediakan membuatkan remaja lebih bersemangat menyertai perlumbaan haram tersebut. Contohnya, gadis-gadis dan wang ringgit dijadikan habuan kepada pemenang perlumbaan haram tersebut. Hal ini menyebabkan remaja tersebut berasa seronok dan ingin selalu menyertai perlumbaan itu. Jadi jelaslah bahawa kepuasan diri remaja merupakan faktor keterlibatan mereka dalam aktiviti ini.

         Selain itu, kurang perhatian daripada ibu bapa merupakan faktor remaja terjerumus dalam aktiviti perlumbaan haram ini. Perkara ini berlaku apabila ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak mereka. Bermula dari situ, remaja berasa terpinggir dan tidak disayangi, seterusnya mereka mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan menyertai rakan-rakan mereka berlumba haram. Mereka menganggap dengan berbuat demikian, mereka mampu mendapat perhatian serta melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka menghabiskan masa mereka dengan berlumba haram sehingga lewat malam dan pulang pada lewat subuh. Disebabkan tuntutan ego, mereka mula terlibat dengan jenayah sosial yang mampu menjejaskan masa depan mereka. Oleh itu, penglibatan remaja dalam masalah ini sebenarnya  berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak prihatin.

        Seterusnya, penglibatan remaja dalam masalah sosial ini menjurus kepada pelbagai kesan negatif.  Salah satunya ialah peningkatan kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku mungkin disebabkan oleh kecuaian pelumba haram yang tidak berjaya mengawal kenderaan mereka. Situasi ini menyebabkan pemandu lain yang berada berhampiran tidak dapat mengelak daripada bertembung dengan kenderaan pelumba haram disebabkan tidak sempat menekan brek. Selain itu, pelumba haram yang melakukan aksi-aksi berbahaya yang melampau mendedahkan diri mereka kepada kemalangan,contohnya aksi    ‘Willy ’ yang memerlukan keseimbangan badan. Mereka mungkin terpelanting daripada motorsikal yang ditunggang akibat tidak dapat mengawal situasi. Lebih malang lagi apabila orang yang tidak bersalah menemui ajal akibat perbuatan mereka. Jelaslah sikap tidak bertanggung jawab para pelumba haram mengakibatkan kecederaan kepada diri sendiri dan orang lain.

         Selain itu, aktiviti lumba haram ini mengundang jenayah lain. Aktiviti jenayah mungkin terjadi dalam kalangan remaja kerana mereka memerlukan wang untuk menyertai perlumbaan haram tersebut. Mereka akan melakukan pelbagai jenayah untuk memperoleh wang. Contohnya, mereka akan merompak, meragut, mencuri dan sebagainya. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan cagaran seperti wang sebagai taruhan bagi setiap perlumbaan yang disertai. Kesannya, jenayah yang dilakukan oleh mereka mengancam keselamatan masyarakat. Di samping itu, terjadi pergaduhan antara mereka apabila ada segelintir remaja yang tidak berpuas hati dengan rakan-rakan mereka dan akhirnya menjurus kepada pembunuhan. Kesannya, remaja yang terlibat dengan lumba haram ini turut mengheret diri mereka ke dalam jenayah yang lebih berat. Jelaslah keterlibatan remaja dalam aktiviti lumba haram ini dapat meningkatkan kadar jenayah dalam negara.

        Kesan negatif yang lain ialah aktiviti lumba haram ini mampu menjatuhkan imej negara di mata para pelancong. Perlumbaan haram biasanya dilakukan oleh golongan remaja di jalan-jalan utama di bandar-bandar. Pelancong asing sering terserempak dengan pelumba haram ini. Hal ini demikian kerana jalan-jalan utama menjadi tumpuan pelumba haram ini menjalankan aktiviti mereka tanpa mengira waktu sama ada pada waktu siang hari mahupun pada waktu malam hari. Lebih malang lagi apabila ada pelancong asing yang menjadi mangsa jenayah yang dilakukan oleh pelumba-pelumba haram ini. Contohnya, mereka menjadi mangsa jenayah ragut, rompak, dan kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan pelumba haram tersebut. Antara jalan utama yang menjadi tumpuan remaja menjalankan aktiviti perlumbaan haram mereka ialah  di Dataran Merdeka, Lebuh Raya Akleh dan sebagainya. Pelancong asing yang pernah menjadi mangsa pasti akan mengalami trauma dalam hidup mereka. Kesannya, mereka tidak akan kembali ke negara ini dan mungkin akan menceritakan keburukan Malaysia kepada rakan taulan yang berada di negara asal. Hal ini pasti akan menjejaskan imej Malaysia di mata pelancong asing. Sesungguhnya, sikap negatif yang dibawa oleh remaja mampu menjatuhkan reputasi negara di samping memberi kesan kepada ekonomi negara kita.

        Kesimpulannya, terdapat banyak faktor aktiviti lumba haram ini sangat digemari oleh remaja, sekaligus membawa kesan negatif kepada diri sendiri, orang awam, dan negara. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah ini. Semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan berkesan bagi membanteras gejala sosial ini. Ibu bapa harus meluangkan masa yang lebih bersama anak-anak, memantau tingkah laku anak-anak, serta mengenali rakan anak-anak. Selain itu, kerajaan juga perlu mengetatkan undang-undang yang sedia ada. Hukuman penjara dan denda perlu dilaksanakan dengan lebih tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama. Sekiranya aktiviti ini dapat dibendung, tidak mustahil negara dapat melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti yang mampu menjana kecemerlangan negara pada masa hadapan.