TENTANG SAYA

Seorang Norzuraidah














Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh....

             Di halaman ini, saya ingin berkisah tentang diri saya dari sisi seorang  guru/pendidik.  Semua yang saya tulis ini sekadar untuk berkongsi pengalaman diri menjadi seorang Norzuraidah.

           Sebenarnya saya tidak tahu di mana saya hendak bermula.  Mungkin dengan cara memperkenalkan diri saya sendiri, merupakan pembuka kalam yang menarik. Insya-Allah…

            Saya merupakan anak ketiga daripada enam orang adik beradik kepada pasangan Tn. Haji Md Nor dan Hjh. Kamsiah bt Mohd Jani.  Saya dilahirkan di Kg Parit Melana, Melaka pada tahun 1970.  Saya menerima pendidikan rendah di Sek. Ren. Keb. Kota, Kota Bharu, Kelantan (1977-1982), dan meneruskan pendidikan menengah, (tingkatan 1- 6 Atas) di Sek. Men. Keb. Kota, Kota Bharu, Kelantan (1983-1989). Setelah itu saya menyambung pengajian  di USM selama 4 tahun dalam kursus Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan (Kepujian) dan menerima ijazah pertama saya  pada tahun 1994. Pada tahun 1997, saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan berjaya menerima ijazah Sarjana Pendidikan (Kurikulum) pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, perjuangan saya dalam usaha menuntut ilmu belum selesai kerana cita-cita saya untuk meneruskan pengajian ke peringkat  tertinggi iaitu PHD belum terlaksana.

       Saya mula berkhidmat sebagai guru di Sek. Tinggi Bukit Mertajam, Seberang Perai (1994-2001), kemudian bertukar ke SMK Tasik Permai, Ampang, Selangor (2002) dan terkini mengajar di SMK Taman Tasik, Ampang Selangor (2003-kini).  



Norzuraidah Dari Sisi Seorang Guru / Pendidik 


           Di sekolah, saya lebih dikenali dengan gelaran Cikgu Zue.  Saya merupakan Guru Akademik Tingkatan Enam dan mengajar subjek Bahasa Melayu (selama 17 tahun) serta Pengajian Am (baru sahaja masuk tahun ketiga). Saya juga merupakan guru Penyelaras Sidang Redaksi sejak tahun 2008. Saya amat mencintai tugas saya sebagai pendidik.  Saya sayang akan semua pelajar saya seperti anak-anak saya sendiri. Saya juga berbangga mempunyai para pelajar yang rajin, tekun dan taat. Saya mahu para pelajar saya mengenang saya kerana cara saya mendidik mereka dan saya mahu menjadi seorang guru / pendidik yang luar biasa, bukan yang biasa-biasa, yang sentiasa ada di hati  para pelajar saya selamanya. Alhamdulillah, hingga kini  saya masih dikenang dengan cara saya, cara seorang cikgu Zue, oleh bekas pelajar-pelajar saya.  Dahulu saya dicop sebagai guru yang garang.  Maaf, sebenarnya mereka silap. Saya tidak garang tetapi saya TEGAS sebenarnya!  Garang dan tegas itu berbeza, tetapi tidak mengapalah, yang penting mereka tahu sebab saya TEGAS. Semuanya demi kecemerlangan mereka, dunia dan akhirat.  


           Saya selalu memberitahu mereka bahawa jika mereka ingin cemerlang, mereka harus mempunyai sikap yang positif iaitu rajin, tekun, dan tawakkal.  Saya suka mengambil contoh diri saya sendiri sebagai analogi.  Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya bukanlah manusia istimewa yang dianugerahkan oleh Allah kepintaran semulajadi.  Saya pelajar biasa-biasa sahaja, namun saya tetap boleh menjadi pelajar cemerlang hanya kerana saya sangat rajin, tekun dan  memberi perhatian sepenuhnya kepada pengajaran guru di dalam kelas. Semua nota saya kemas dan  dan sentiasa kemas kini, dan oleh sebab itu saya sangat suka membaca nota saya.  Saya menerapkan cara dan kaedah pembelajaran saya kepada para pelajar saya.  Saya juga selalu memberitahu mereka bahawa faktor yang membezakan pelajar cemerlang dengan pelajar tidak cemerlang ialah sikap.  Pelajar cemerlang ialah pelajar yang rajin, tidak suka bertangguh dan menelaah pelajaran tanpa jemu manakala pelajar yang tidak cemerlang ialah pelajar yang malas, suka bertangguh dan cepat jemu menelaah pelajaran. 


                      Sejak minggu lepas, saya telah membuat sedikit transformasi di dalam kelas saya.  Saya memulakan kelas saya dengan bacaan doa dan saya meminta pelajar-pelajar saya mengaminkan doa saya.  Saya berharap doa saya itu dapat menembusi dan menyerap ke dalam hati para pelajar saya dan semoga Allah memakbulkan doa saya itu. Walaupun saya tidak pernah lupa mendoakan pelajar-pelajar saya setiap kali selepas solat sebagaimana saya mendoakan anak-anak saya, namun saya berpendapat, para pelajar saya akan lebih terkesan apabila saya mendoakan mereka dan menyebut nama setiap orang daripada mereka di dalam kelas. Lebih menyentuh perasaan!!! Segala yang saya tulis ini sesekali tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar berkongsi pengalaman saya sebagai guru dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Wallahua'lam.
























1 comment:

  1. Terima kasih kerana perkongsian tips menulis karangan.Saya berhutang budi dengan Puan dan mendoakan Puan dimurahkan rezeki dan dikurniakan Allah Kesihatan yang baik

    ReplyDelete